Adakah Sambutan Hari Orang Kurang Upaya Membawa Sebarang Faedah kepada Komuniti Orang Kurang Upaya?

Setiap tahun kita meraikan beberapa hari ketidakupayaan, selalunya dengan penglibatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan, kadang kala, Kementerian Pendidikan (KPM). Baru-baru ini, kita telah menyambut Hari Kesedaran Autisme Sedunia (2 April). Pada bulan Mac, kami menyambut Hari Sindrom Down Sedunia (21 Mac). Juga diraikan adalah Hari Orang Kurang Upaya Sedunia (3 Disember), Hari Palsi Serebrum Sedunia (6 Oktober), Minggu Kurang Upaya Halimunan (Invisible Disabilities Week) (17–23 Oktober) dan banyak lagi.
Oleh The OKU Rights Matter Project

Setiap tahun kita meraikan beberapa hari ketidakupayaan, selalunya dengan penglibatan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Kementerian Kesihatan (KKM) dan, kadang kala, Kementerian Pendidikan (KPM). Baru-baru ini, kita telah menyambut Hari Kesedaran Autisme Sedunia (2 April). Pada bulan Mac, kami menyambut Hari Sindrom Down Sedunia (21 Mac). Juga diraikan adalah Hari Orang Kurang Upaya Sedunia (3 Disember), Hari Palsi Serebrum Sedunia (6 Oktober), Minggu Kurang Upaya Halimunan (Invisible Disabilities Week) (17–23 Oktober) dan banyak lagi. Acara-acara ini biasanya diraikan dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh menteri-menteri yang berkaitan, selalu digambarkan oleh gambar-gambar menteri bersama orang kurang upaya (OKU) dan beberapa maklumat grafik atau imej di halaman media sosial KPWKM, KKM dan KPM masing-masing.

Hari-hari dan peristiwa ini adalah penting untuk menumpukan perhatian negara kepada pengalaman hidup OKU yang pelbagai dan perkara ini harus diteruskan.

Pada masa yang sama, kita perlu bertanya: apakah kesan sambutan-sambutan seperti ini terhadap hak dan landskap perkhidmatan sokongan kepada komuniti OKU? Adakah sambutan-sambutan ini telah menggalakkan KPWKM, KKM, KPM dan agensi kerajaan lain untuk meluaskan dan menambah baik perkhidmatan dan sokongan negara untuk OKU dan komuniti OKU?

Bagi pengundi dan pembayar cukai, audit bebas dan berkala terhadap prestasi kementerian dan semua entiti kerajaan sudah lama tertangguh. Pengundi dan pembayar cukai Malaysia mempunyai hak untuk mengakses keputusan penilaian bebas tentang skop dan keberkesanan perkhidmatan kerajaan, prestasi dan rancangan tahunan/jangka panjang untuk OKU. Dengan teman sepenjagaan mereka, OKU merupakan lebih daripada 30% daripada populasi negara. Memandangkan penuaan masyarakat Malaysia secara pesat dan persilangan di antara penuaan dan ketidakupayaan, kita harus mengakui bahawa populasi ini akan melebihi 30%. Namun, komuniti OKU adalah antara golongan yang paling terabai di negara ini.

Berikut adalah soalan kritikal yang perlu dijawab oleh KPWKM, KKM dan KPM mengenai rancangan yang masing-masing telah gariskan untuk komuniti OKU:

1.    Apakah yang telah terjadi kepada “Majlis Autisme Kebangsaan”, penubuhan yang mana diumumkan oleh Kementerian Kesihatan pada Julai 2022? Adakah tempoh masa dua tahun diperlukan untuk penubuhannya? Perkhidmatan untuk orang autistik adalah terhad, dengan kebanyakan perkhidmatan disediakan di luar agensi kerajaan. Orang autistik, dan golongan OKU lain, menghadapi halangan sepanjang hidup mereka, daripada akses yang tidak mencukupi kepada diagnosis dan perkhidmatan sokongan tepat pada masanya kepada ketiadaan usaha jangka panjang yang sistematik untuk mengurangkan penstigmaan dan diskriminasi, terutamanya bagi pemegang kad OKU. Ini sekali gus menyebabkan ramai tidak berminat untuk berdaftar secara rasmi sebagai OKU.

2.    Bolehkah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Ketua Setiausaha Negara menjelaskan mengapa kita gagal, selama 35 tahun (sejak 1988), untuk memenuhi sasaran dan janji dasar kerajaan 1% penjawat awam OKU? Kadar penjawat awam OKU semasa ialah 0.3%. Fakta yang paling ketara ialah majoriti OKU yang memohon pekerjaan melalui SPA tidak dipanggil untuk temu duga. Amalan diskriminasi terhadap OKU yang berkelayakan tidak terhad kepada pengambilan kerja, tetapi juga merangkumi jaminan pekerjaan dan kemajuan kerjaya bagi mereka yang sedang berkhidmat sebagai penjawat awam. Mengapa amalan sebegitu diterima dan diteruskan secara senyap? Mengapa pihak kepimpinan tidak bertindak untuk menamatkan ketidakadilan dan diskriminasi terhadap OKU yang berkelayakan dalam perkhidmatan awam?

3.    Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mempunyai “Pelan Tindakan OKU 2016-2022” yang baik. Bolehkah KPWKM memaklumkan kepada rakyat Malaysia apa yang telah dicapai untuk rancangan-rancangan bagi 10 Teras Strategik yang ditetapkan, serta pelbagai objektif dan sasaran yang digariskan? Selepas 2022, kenapa tiadanya susulan kepada Pelan Tindakan OKU? Tanpa kewujudan Pelan Tindakan OKU sejak 1 Januari 2023, bagaimanakah KPWKM mengagihkan peruntukan untuk OKU?

4.    Menteri KPWKM mengumumkan bahawa pindaan kepada Akta Orang Kurang Upaya 2008 (“Akta OKU”) akan dibentangkan di Parlimen pada Jun 2023. Sembilan bulan kemudian, kita masih menunggu pembentangan pindaan yang bermakna untuk menyelaraskan Akta tersebut dengan Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD) yang diratifikasi oleh Malaysia pada 2010. Malah, Teras Strategik 10 di bawah Pelan Tindakan OKU 2016-2022 oleh KPWKM menyatakan: “Melaksanakan undang-undang mengikut Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya”. Bolehkah KPWKM menjelaskan apa yang telah dilakukan oleh Kementerian untuk memasukkan dan mencerminkan CRPD dalam pindaan Akta OKU?

5.    Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga di bawah Kementerian Kesihatan mempunyai “Pelan Tindakan Penjagaan Kesihatan untuk Orang Kurang Upaya 2011-2020” yang terperinci. Adalah sangat penting untuk mengetahui apa yang telah dicapai. Dalam kes KKM juga, mengapakah Pelan untuk komuniti OKU dihentikan tanpa Pelan susulan? Tambahan pula, dalam kes ini, lebih awal lagi pada 2020? Apakah ia kebiasaan untuk mengambil masa bertahun-tahun untuk melancarkan sesuatu pelan atau susulannya?

6.    Dalam kes pembangunan Pelan Tindakan Demensia Kebangsaan yang dipertanggungjawabkan kepada KKM, proses itu bermula pada 2019. Draf Pelan tersebut dilancarkan semula pada 2022 dengan input masyarakat sivil dan sekali lagi pada Mac 2024, tanpa sebarang petunjuk kepada orang ramai tentang masa pelancaran pelan tersebut.

7.    Kementerian Pendidikan mempunyai “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025” (MEB) yang bermakna. Ia menggariskan sasaran untuk “mendapatkan 75% murid berkeperluan khas mendaftar dalam program pendidikan inklusif menjelang 2025.” MOE baru-baru ini mengumumkan bahawa MEB “mencapai kejayaan.” Namun begitu, kami yang bekerja dengan kanak-kanak kurang upaya tahu betapa terhadnya penyertaan murid berkeperluan khas dalam pendidikan arus perdana. Sudah tiba masanya untuk mengambil kira pencapaian sebenar dalam pendidikan inklusif dengan mendengar realiti komuniti OKU.

8.    Mengapakah laporan kerja-kerja yang dilaksanakan oleh Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MBOKU) dan jawatankuasa kecilnya tidak dipaparkan di laman web KPWKM untuk memudahkan akses kepada OKU dan seluruh komuniti OKU yang merangkumi ibu bapa, rakan sekutu dan semua yang mengambil berat hak OKU ?

Sambutan hari-hari ketidakupayaan adalah amalan yang baik selaras dengan tujuan asalnya, iaitu meningkatkan kesedaran. Akan tetapi, peningkatan kesedaran hanya bermakna jika ia diperkukuh dengan usaha menyeluruh yang menghasilkan perubahan bermakna dalam kehidupan OKU, di peringkat isi rumah dan masyarakat. Ucapan, rancangan dan idea yang bagus tidak bernilai melainkan kesemua ini direalisasikan di kalangan masyarakat. Komuniti OKU semakin terabai. Kanak-kanak kurang upaya masih tidak dapat mencapai potensi penuh mereka. OKU dewasa masih menghadapi cabaran untuk keterangkuman dan penyertaan yang saksama (inklusif secara ekuiti) dalam semua aspek masyarakat arus perdana. Malaysia kurang bersedia untuk menghadapi ketidakupayaan dan penuaan masyarakat yang cepat. Ini adalah kegagalan sistem secara keseluruhan dan memerlukan semakan realiti dan tindakan pembetulan dengan segera. Jawapan-jawapan kepada soalan-soalan yang dibentangkan di atas jelas menggambarkan kesejahteraan masyarakat Malaysia.

Dato’ Dr Amar-Singh HSS
San Yuenwah
Anit Kaur Randhawa
Ng Lai-Thin

Makluma lanjut mengenai OKU Rights Matter di sini.

en_USEnglish